Kadet Remaja Sekolah

Monday, November 7, 2011

Cadangan utk Tunas KRS

Cadangan Pelaksanaan dan Cadangan Kajian Lanjutan

Kadet Remaja Sekolah atau KRS telah diluluskan penubuhannya di sekolah-sekolah oleh Jemaah Menteri pada 18 Januari 1995. Pelancaran penubuhannya pula telah disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Menteri Pendidikan Malaysia pada 20 Jun 1995. Manakala arahan pelaksanaan Kadet Remaja Sekolah ini di semua sekolah telah dibuat oleh Bahagian Sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 4 / 1995.

Pasukan Tunas KRS ini ditubuhkan bertujuan memberi peluang kepada semua murid yang tidak menyertai mana-mana pasukan badan beruniform yang sedia ada di sekolah untuk menyertai pasukan Tunas KRS. Dengan itu semua murid berpeluang menyertai pasukan pasukan badan beruniform di sekolah. Semenjak ditubuhkan lebih sedekad yang lalu, penglibatan murid dalam pasukan ini telah meningkat dari tahun ke tahun. Jumlahnya adalah melebihi bilangan penglibatan murid dalam mana-mana pasukan badan beruniform yang lain.

Berdasarkan perkembangan ini, pelaksanaan aktiviti pasukan KRS turut dikembangkan ke peringkat sekolah rendah dengan nama Pasukan Tunas Kadet Remaja Sekolah atau TKRS. Pasukan Tunas Kadet Remaja Sekolah ini telah diasaskan pada 15 Mac 1999 dan penubuhan rasminya telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia, YB Dato’ Noh b. Omar pada 26 Mac 2006

Dari aspek kepegawaian , kedua-dua pasukan ini menggunakan sepenuhnya kepakaran dan tenaga guru-guru sekolah sebagai pengurus dan jurulatih pasukan. Oleh itu berbagai-bagai latihan telah dijalankan kepada guru-guru tesebut bagi memantapkan lagi pengurusan pasukan ini di seluruh negara.Pelaksanaan aktiviti Tunas KRS adalah berdasarkan kurikulum yang berteraskan aspek Disiplin dan Kerohanian disamping 4 elemen utama iaitu Ketahanan Diri dan Kebudayaan, Keusahawanan, Khidmat Masyarakat dan Alam Sekitar.

Sepanjang tempoh pelaksanaan aktiviti Tunas KRS, tiada sebarang peruntukan khas diberikan kepada pasukan ini. Pembiayaan aktiviti hanyalah melalui peruntukan aktiviti Menengah dan Rendah (kokurikulum –OS42000) yang amat terhad dan rendah jumlahnya. Oleh itu segala perancangan untuk membangunkan pasukan ini tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan melalui peruntukan yang terhad tersebut. Oleh itu beberapa permasalahan dapat dikesan seperti berikut;

i. Pembangunan aspek kejurulatihan pasukan.kurang berkesan.

Memandangkan semua jurulatih pasukan TKRS ini adalah terdiri daripada kalangan guru, maka latihan atau kursus-kursus yang berkaitan dengan kurikulum dan pengurusan pasukan yang cekap dan sistematik perlu diadakan. Tetapi disebabkan tiadanya peruntukan khas, maka program ini gagal dilaksanakan secara berkesan dan objektif di sebalik penubuhan pasukan ini di semua sekolah seluruh negara tidak akan tercapai sepenuhnya.

ii. Pembangunan fizikal pasukan kurang mantap.

Disebabkan tiadanya peruntukan khas tersebut, menyebabkan aktiviti pembangunan fizikal pasukan seperti ketiadaan pusat latihan khas, kekurangan peralatan dan logistik pasukan itu sendiri di peringkat kebangsaan dan negeri merencatkan program yang dirancang sepanjang tahun.

iii. Salah tanggapan terhadap kualiti pasukan KRS.

Disebabkan tiada peruntukan yang khas diberikan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia kepada pihak pengurusan pasukan ini, segala urusan perbelanjaan pasukan ditanggung oleh ahli-ahli dan guru-guru pemimpinnya sendiri di peringkat negeri dan sekolah. Oleh itu timbul salah tanggapan oleh sesetengah pihak bahawa menyertai pasukan ini perlu mengeluarkan perbelanjaan yang besar khususnya untuk pembelian pakaian dan segala kelengkapan yang lain.

Pada setiap tahun pasukan TKRS terlibat dalam pelbagai aktiviti sama ada diperingkat kebangsaan, negeri mahupun daerah seperti perkhemahan tahunan, pertandingan kawad kaki, kursus kenaikan pangkat dan kursus-kursus kejurulatihan pegawai. Tanpa sebarang peruntukan khas tersebut, semua aktiviti ini masih dapat dilaksanakan, namun kejayaannya tidak begitu memberangsangkan. Demi pembangunan yang lebih mantap, sokongan dari segi kewangan khas amat diperlukan oleh pasukan ini.

Dicadangkan Kementerian Pelajaran Malaysia mewujudkan peruntukan khas yang akan diberikan kepada pasukan TKRS agar dapat merealisasikan semua aktiviti yang dirancang dengan berkesan melalui pelaksanaan program dan kursus kejurulatihan kepada pegawai-pegawainya, penyediaan peralatan dan logistik yang mencukupi serta pengurusan dan perancangan aktiviti yang mantap. Dengan adanya semua peruntukan ini, usaha membentuk generasi muda yang yakin diri, berdaya saing, cekap dan bersatupadu bagi melahirkan insan kamil sesuai dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan akan tercapai.

Selain daripada peruntukan kewangan berdasarkan hasil dapatan kajian, dicadangkan diwujudkan jawatan Pegawai Tadbir KRS secara hakiki di semua Jabatan Pelajaran Negeri. Disamping memastikan pasukan badan beruniform Tunas KRS di semua negeri mempunyai sumber logistiknya tersendiri yang lengkap. Kursus-kursus pemantapan kejurulatihan dilaksananakan dengan efektif dan berkesan di peringkat negeri dan kebangsaan. Dan akhir sekali mewujudkan pusat latihan bagi pasukan Tunas KRS di setiap negeri. Belanja Mengurus pasukan Tunas Kadet Remaja Sekolah dan penstrukturan semula perjawatan jika diluluskan sudah pasti menjadikan pasukan lebih mantap di setiap negeri dan setanding dengan pasukan badan beruniform yang lain selaras dengan matlamat dan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Hasilan kajian juga menunjukkan bahawa kajian lanjutan harus dijalankan agar dapatan kajian yang dijalankan menjadi lebih tepat dan mendalam. Populasi kajian juga hendaklah lebih besar dan menjurus kepada akar umbi iaitu sekolah ( guru dan murid ) . Melalui kajian sebegitu barulah boleh dilihat samada penubuhan pasukan ini benar-benar berkesan dan menjadi tarikan ramai murid. Kajian lanjutan juga harus melihat dari beberapa aspek yang berbeza agar hasilannya lebih mendalam. Kaedah kajian juga harus dipelbagai agar hasilannya lebih tepat.

Kesimpulan

Memorandum Pelaksanaan Kokurikulum yang diluluskan oleh Kabinet Persekutuan pada tahun 2005.

“akan keterangan bahawa hasil daripada penelitian semula untuk menghidupkan aktiviti kokurukulum, Kementerian Pelajaran mendapati aspek-aspek seperti di bawah mesti diperkukuhkan, iaitu :

i. Pemantapan dasar bagi meningkatkan penyertaan murid, guru pelatih, guru, pensyarah maktab dan pensyarah kolej matrikulasi;

ii. Pemantapan latihan guru dan program kejurulatihan;

iii. Pengukuhan struktur organisasi yang terlibat dengan pelaksanaan aktiviti kokurikulum di jabatan, bahagian dan sekolah bagi membolehkan perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penilaian aktiviti dilakukan;

iv. Penyediaan norma khas peruntukan kewangan bagi pelaksanaan aktiviti kokurikulum;

v. Penyediaan infrastruktur yang sesuai dan mencukupi bagi semua sekolah, maktab perguruan dan kolej matrikulasi;

vi. Pemantapan hala tuju serta pengukuhan aspek ganjaran dan hukuman menerusi peruntukan undang-undang, peraturan dan insentif bagi melaksanakan aktiviti kokurikulum, termasuk pemberian nilai ke atasnya terutamanya sebagai salah satu criteria utama pemilihan murid ke peringkat persekolahan dan pengajian yang lebih tinggi; dan

vii. Pemantapan kerjasama dengan kementerian-kementerian lain dan pihak-pihak di luar kementerian

Langkah-langkah dan strategi untuk memantapkan kokurikulum sebagai suatu komponen pendidikan yang penting demi kegemilangan bidang pendidikan negara pada masa hadapan, dalam hal ini salah satunya melalui pasukan badan beruniform Tunas Kadet Remaja Sekolah. Melalui pasukan ini boleh membantu proses pembinaan insan, membantu proses pembelajaran murid. Pelaksanaan pasukan ini pada masa kini telah berjalan dengan lancar, landasan untuk pembangunannya sudah terbina. Penglibatan murid dan guru dan pegawai-pegawai pelajaran di peringkat daerah, bahagian dan negeri semakin memberangsangkan. Walaubagaimana pun masih ada lagi aspek pelaksanaan dan pengurusan yang boleh dipertingkatkan dan dipermantapkan dalam memastikan keberkesanan Penubuhan Pasukan Badan Beruniform Tunas Kadet Remaja Sekolah : Fokus Terhadap Elemen Jeri Dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

No comments:

Post a Comment