Kadet Remaja Sekolah

Sunday, August 14, 2011

Menubuhkan Tunas Kadet Remaja Sekolah

MEMBUAT KEPUTUSAN MENUBUHKAN PASUKAN BADAN BERUNIFORM TUNAS KADET REMAJA SEKOLAH MALAYSIA PADA TAHUN 1999

Dalam membuat keputusan menubuhkan pasukan Tunas Kadet Remaja Sekolah banyak sebab yang memainkan peranan dalam keinginan saya menubuhkan pasukan tersebut. Setelah didedahkan kepada pasukan Kadet Remaja Sekolah dengan mengikuti kursus-kursus di peringkat negeri, kesedaran mulai timbul betapa pentingnya menubuhkan pasukan ini di peringkat sekolah rendah.

Saya berpendapat bahawa anak-anak pada era ini perlu diberi pendedahan akan disiplin dan “survival” seperti mana yang terdapat dalam sukatan Kadet Remaja Sekolah. Tingkah laku dan dorongan serta nasihat dan pandangan pengasas-pengasas Kadet Remaja Sekolah telah banyak menyedarkan saya betapa anak-anak pada era ini ramai yang runtuh akhlak dan sebagai pendidik sesuatu harus dilakukan.

Perasaan bimbang dan risau banyak memainkan peranan dalam keinginan saya menubuhkan pasukan ini, kerana melihatkan anak-anak khasnya di Kuala Lumpur yang hidup dengan begitu bebas tanpa ada batasan dari segi moral dan agama. Budaya barat telah menular dan adanya setengah-setengah generasi pada era tersebut semacam sebati dengan budaya barat yang meruntuhkan akhlak. Oleh itu bagi saya sesuatu dan seseorang khasnya kita sebagai pendidik harus bertindak dalam membendung gejala-gejala negatif ini.

Pada waktu itu pasukan Kadet Remaja Sekolah telah ditubuhkan di sekolah-sekolah menengah di seluruh Malaysia tetapi saya berpandangan adakah telah terlewat bagi kita sebagai pendidik untuk mula dedahkan anak-anak pada budaya yang baik pada peringkat umur belasan tahun tersebut, bukankah lebih baik untuk dimulakan di peringkat umur di sekolah rendah sebelum terlewat di mana anak-anak telah didedahkan dengan budaya yang negatif.

Melalui Badan Beruniform anak-anak boleh didedahkan dengan disiplin, moral, agama dan lain-lain lagi, pada waktu itu sememangnya telah ada pelbagai unit beruniform di sekolah-sekolah tetapi kebanyakannya lebih menekankan aspek disiplin, perkhemahan dan lain-lain, oleh itu saya merasakan sesuatu harus dibuat atau lebih tepat lagi sukatan badan beruniform yang baru yang lebih menekankan kerohanian dan moral perlu dilakukan dalam usaha membendung gejala-gejala negatif ini.

Pendedahan dan nasihat daripada pengasas-pengasas Kadet Remaja Sekolah juga memainkan peranan yang penting dalam usaha saya menubuhkan pasukan Tunas Kadet Remaja Sekolah.

PERSEPSI DAN PERHATIAN DALAM MENUBUHKAN PASUKAN TUNAS KADET REMAJA SEKOLAH

Pada tahun 1986 saya ditempatkan di Sekolah Menengah Chong Hwa, Kuala Lumpur setelah tamat kursus perguruan selama 3 tahun di Maktab Perguruan Kota Bharu. Saya dibesarkan di kampung dan juga bandar yang kecil berbanding dengan ibukota Kuala Lumpur, oleh itu pendedahan saya tentang budaya kehidupan amat berbeza dengan apa yang ada di Kuala Lumpur. Persepsi saya terhadap apa yang ada dan apa yang berlaku di Kuala Lumpur banyak mengubah pandangan saya dalam pendidikan. Di Kuala Lumpur pada tahun 1986 dan tahun-tahun berikutnya terdapat ramai penagih-penagih dadah, dan pelbagai aktiviti tidak bermoral yang lain, saya berpendapat anak-anak di sekolah harus dididik dan ditunjukajar agar tidak terjerumus dalam aktiviti-aktiviti negatif dan persepsi saya adalah melalui sesuatu yang anak-anak minat yang akan dapat menarik mereka atau mengelakkan mereka terjerumus dalam perkara yang akan merosakan mereka.

Persepsi saya untuk memulakan sesuatu harus dimulakan dari awal, dalam hal ini dari peringkat sekolah rendah lagi. Ini adalah berdasarkan ingatan dan perhatian saya pada beberapa badan atau pertubuhan yang menerapkan sesuatu doktrin hingga ia menjadi sebati pada diri seseorang. Pada awal tahun 80an saya telah menyertai beberapa pertubuhan dakwah dengan niat mempelajari sesuatu untuk memperbaiki diri di samping untuk melihat sendiri apa yang digembar-gemburkan akan dua pertubuhan dakwah yang kuat pengaruhnya pada waktu itu, iaitu Al-Arqam dan Tabligh. Disamping menyertai untuk mengetahui dan mempelajari sesuatu saya telah dapat membuat perbandingan cara mana yang terbaik untuk menerapkan sesuatu agar masyarakat satu masa nanti dapat menerimanya, dalam hal ini cara yang digunakan oleh Al-Arqam lebih efektif kerana mereka mendedahkan ideologi mereka dari peringkat awal lagi iaitu dari peringkat bayi lagi, dan akhirnya doktrin mereka telah menjadi sebati dalam hati dan jiwa seseorang, malahan bila kerajaan mengistiharkan pertubuhan tersebut haram dan ajaran mereka terpesong masih ramai lagi hingga sekarang yang masih akur dengan Al-Arqam, khasnya kepada pemimpin mereka, ini menunjukan mereka telah sebati dengan apa yang diajar walaupun ianya negatif .

Oleh itu saya berpandangan daripada perhatian dan ingatan tersebut saya perlu menubuhkan pasukan Tunas Kadet Remaja Sekolah di peringkat sekolah rendah lagi agar anak-anak dapat dididik dan diberi pendedahan dari awal agar budaya yang baik menjadi sebati dalam hati dan jiwa mereka.

Permerhatian saya juga banyak mempengaruhi saya dalam menubuhkan pasukan ini khasnya pemerhatian saya terhadap sekolah-sekolah pengasas-pengasas Kadet Remaja Sekolah, dimana murid-murid yang menyertai pasukan KRS telah keperibadian dan akhlak yang baik, ini termasuklah murid-murid kaum Cina di sekolah menengah tempat saya bertugas, inilah yang mendorongkan dan memberi kekuatan serta semangat kepada saya untuk menubuhkan pasukan Tunas KRS di sekolah rendah.

Persepsi saya juga memainkan peranan dalam usaha menubuhkan pasukan ini, kerana berdasarkan persepsi anak-anak di ibukota dan secara kebetulan tempat saya ditugaskan sebagai guru untuk kali pertama adalah di Kuala Lumpur banyak mempengaruhi saya setelah perhatian saya akan apa yang berlaku pada anak-anak muda di Kuala Lumpur pada waktu tersebut.

PENUTUP

Persepsi, ingatan dan perhatian saya banyak mempengaruhi saya dalam menubuhkan pasukan Tunas Kadet Remaja Sekolah dan saya merasakan dan berharap pasukan ini sedikit sebanyak akan memberi kesan positif dan mempengaruhi anak-anak agar Malaysia terus cemerlang.

No comments:

Post a Comment